Prinsip Perniagaan (Dalam Islam)

November 16, 2017 — Penulis: Raden Aji

Kategori: Artikel Pilihan / Umum
Sebagai usahawan, penting mempraktikkan displin atau prinsip tertentu dalam perniagaan. Supaya pendapatan kita halal dan berkat, bersih daripada perkara yang haram, disukai pelanggan dan mempunyai jaringan yang luas antara usahawan. 
4 Prinsip usahawan di bawah adalah antara prinsip yang penting untuk ditekankan dalam perniagaan yang menyumbang kepaa tujuan tersebut.

Prinsip #1 – Mudahkan dan Jangan Susahkan

Rasulullah S.A.W. bersabda, “Maka dengan sesungguhnya kamu dibangkitkan untuk memberi kemudahan dan kamu tidak dibangkitkan dalam keadaan yang menyusahkan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari No. 6128)


Islam itu agama yang mudah. Begitu jugalah yang mesti dipraktikkan bagi mereka yang bergelar usahawan. Jika kita berkecimpung dalam bidang keusahawanan, seharusnya kita memudahkan setiap urusan pelanggan berbanding menyukarkan urusan mereka.
Penting menjadi usahawan yang memberi kemudahan dan menolak kesukaran dalam setiap urusan. Apabila kita memudahkan urusan orang lain, Allah pasti akan memudahkan urusan kita. Jika kita suka mengambil kesempatan di atas kelemahan orang lain, azab Allah akan tiba jua.

Prinsip #2 – Jangan Cari Musuh!

Kenapa perlu ada musuh? Bersainglah secara sihat. Elakkan permusuhan sesama sendiri. Permusuhan tidak membawa kepada ketenangan hati. Raikan mereka seperti saudara kita sendiri. Malah dalam Islam ada menyebut bahawa setiap muslim itu adalah bersaudara.
Dari Abu Hurairah R.A bahawanya Nabi Muhammad bersabda: “Barangsiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barangsiapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Barangsiapa yang menutup aib seorang muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah senantiasa menolong hamba-Nya selama hamba-Nya itu suka menolong saudaranya.” (Hadis Riwayat Muslim No. 2699)
Jadi, usahlah kita bermusuh dalam perniagaan. Setiap rezeki kita, Allah sudah tetapkan. Jika itu memang rezeki kita, ia tetap akan jadi milik kita dan begitu jugalah sebaliknya. Jauhi permusuhan apatah lagi keji-mengeji dan cemuh-mencemuh insan yang ada di sekeliling kita.

Prinsip #3 – Elakkan riba

Janji Allah adalah sesuatu yang pasti. Allah berfirman di dalam surah Al-Baqarah ayat 278


“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut saki baki riba yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang-orang yang beriman.
(Bank masih mengamalkannya)

Allah dan Rasul telah memberi larangan yang keras kepada umat manusia agar menjauhkan diri daripada sifat mazmumah. Azab bagi pemakan riba sangat dahsyat.
Riba dari segi bahasa adalah tambahan. Dari segi istilahnya mengikut pendapat menurut Dr. Yusuf Al-Qaradhawi riba adalah, ‘setiap pinjaman yang di dalamnya disyaratkan adanya tambahan tertentu.’

Peka dan selidiklah setiap urusniaga yang dilaksanakan. Jauhkanlah riba kerana ia hanya menindas, menzalimi dan membawa kehancuran dalam sesebuah masyarakat. Usahawan yang berjaya adalah usahawan yang bebas riba.

Prinsip #4 – Jual Beli Barang Yang Halal

Islam sangat mengalakkan aktiviti perniagaan. Nabi Muhammad sendiri adalah peniaga dan usahawan hebat yang menjadi sebutan sepanjang zaman. Jual beli adalah sebahagian daripada aktiviti perniagaan. Namun, janganlah sesekali kita melampaui batas yang telah ditetapkan.
Barang yang kita niaga juga hendaklah barang yang halal dan dibenarkan oleh syarak. Allah melarang kita menjual beli barang yang haram contohnya seperti menjual arak, babi, anjing, bangkai dan seumpamanya.

Kredit foto: Time’s A Tickin’

No comments:

Post a Comment